Politik Peraturan guna dakwat kekal dikuat kuasa
KUALA LUMPUR - Penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya berkuat kuasa semalam setelah diwartakan pada 13 Februari lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof.Beliau berkata, SPR kini membuat perancangan untuk menggunakan dakwat kekal itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), bagaimanapun masih belum membuat pesanan untuk membelinya kerana dakwat ini hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.
"Dakwat ini tidak boleh dipesan awal kerana boleh tahan tiga bulan, dan kekalnya akan hilang. Oleh itu SPR belum order lagi," katanya semasa diwawancara oleh hos Suhaimi Mohammad dalam program "Dialog" yang bertajuk "Daftar dan Undi" yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 di sini malam tadi.
"Untuk tempah (dakwat kekal) tidak lama, dua minggu sahaja. Maknanya dari segi persediaan kita dari segi kotak, botol, penutup botol, sudah dalam proses," kata Abdul Aziz.
Beliau berkata, dakwat itu akan dipesan sebaik pembubaran Parlimen diumumkan.
Abdul Aziz berkata, bagaimanapun warna dakwat kekal yang akan digunakan pada PRU 13 belum diumumkan lagi manakala untuk pengundian pos, dakwat kekal tidak akan digunakan.
Beliau turut menasihati para pengundi supaya tidak membenarkan mana-mana
pihak untuk mencalit dakwat di jari mereka sebelum sampai ke tempat mengundi bagi memastikan kelayakan mereka untuk mengundi tidak terjejas.
Mereka yang telah mendaftar untuk mengundi di pusat-pusat mengundi akan dicalit dakwat kekal ini di jari telunjuk kiri, jelas Abdul Aziz.
Beliau berkata, penggunaan dakwat ini bukan sahaja mendapat kelulusan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan atau mempunyai kesan sampingan, malah turut mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Januari lepas memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum adalah harus dan dibenarkan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.
Penggunaan dakwat kekal adalah antara cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Pada 19 Disember 2011, Abdul Aziz mengumumkan SPR akan menggunakan dakwat kekal jenis 'silver nitrate' untuk PRU13, yang merupakan dakwat yang berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.