Perayaan Chap Goh Mei masyarakat Cina
Sambutan Tahun Baru Cina bermula selama 15 hari pada bulan pertama kalendar masyarakat Cina, dengan setiap hari membawa makna berbeza dan disambut dengan cara tertentu.Sebagai tanda berakhirnya perayaan 15 hari itu, ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk makan malam, membunyikan mercun dan bermain mahjung selain upacara sembahan dilakukan dalam kadar yang lebih besar.
Hari yang meriah itu biasanya dikenali sebagai festival tanglung atau dalam dialek Hokkien disebut, Chap Goh Meh yang jika diterjemahkan bermakna 'malam ke-15 Tahun Baru Cina'.
CARA ISTIMEWA
Semasa zaman keemasan Baba dan Nyonya di Malaysia tidak lama dulu, hari itu lazimnya disambut secara besar-besaran dengan cara istimewa khususnya di Pulau Pinang dan Melaka.
Masyarakat Pulau Pinang yang lebih berusia mungkin masih ingat betapa meriahnya hari Chap Goh Meh yang disambut dengan perarakan Chingay merentasi jalan-jalan di Georgetown.
Kini, kesesakan yang sentiasa teruk di jalan-jalan utama Georgetown antara sebab tradisi itu kurang sesuai diteruskan, namun ia masih diadakan di Esplanade atau Padang Kota Lama pada hari Chap Goh Meh setiap tahun.
Di Melaka pula, antara acara menarik tetapi telahpun pupus ditelan zaman ialah kumpulan-kumpulan Dondang Sayang yang berdendang dan berpantun mengelilingi bandar dari atas kenderaan berhias khas.
HARI MENCARI JODOH
Dikatakan juga, pada zaman itu, hari Chap Goh Meh adalah satu-satunya hari di mana anak gadis yang mencapai usia perkahwinan dibenarkan berjalan-jalan keluar dari rumah dengan dandanan dan pakaian paling cantik.
Oleh itu, pada hari yang sama, lelaki bujang yang mahu mencari pasangan hidup juga akan keluar berkumpul untuk mengerling gadis-gadis berkenaan dengan harapan dapat memilih dan meminang gadis yang diminati.
Menurut lagenda, dewa dari langit akan turun pada hari berkenaan untuk mengikat kaki pasangan lelaki dan gadis yang berjodoh dengan benang merah di kaki agar mereka akan sentiasa bersama hingga akhir hayat mereka.
Memandangkan hajat pada malam Chap Goh Meh dianggap lebih makbul, para gadis yang telah berdandan akan menuju ke tokong-tokong pinggir laut bagi melontarkan limau mandarin dan membuat hajat bagi mendapatkan suami yang baik.
Pada waktu itu, gadis-gadis itu juga akan ditemukan dengan telangkai (orang tengah), yang kemudian membantu mencari dan mengaturkan perkahwinan dengan lelaki dari keluarga bersesuaian.
CARA MODEN
Bagaimanapun kini, kata penganjur 'Festival Kasih Sayang Chap Goh Meh Kuala Lumpur 2012', Dennis Loh, tiada lagi adat resam perkahwinan yang diatur telangkai, malah anak gadis boleh dilihat di merata tempat tidak kira siang atau malam. Namun demikian, tradisi melontar limau itu memberi beliau idea untuk mengembalikan semula semangat kasih sayang dan perkahwinan Chap Goh Meh dalam bentuk acara tahunan yang menyeronokkan bagi golongan bujang lelaki dan perempuan, serta mampu menarik pelancong asing.
Acara utama festival itu ialah ribuan wanita akan menulis nama dan nombor telefon masing-masing untuk dilontarkan ke dalam tasik yang kemudian akan dikutip secara rawak oleh pengunjung lelaki.
Tambahan pula, beberapa tahun kebelakangan ini, acara itu menjadi lebih meriah apabila mereka memulakan tradisi pengunjung lelaki pula menulis dan melontar pisang untuk dikutip oleh kaum perempuan.
Menurut pemilik Cheng Pai Events & Solutions itu lagi, festival ini pertama kali dianjurkan pada tahun 2000 dengan jumlah pengunjung hanya 350 orang, dan terus meningkat beberapa kali ganda pada tahun berikutnya.
SIMBOLIK HARAPAN TAHUN BARU
"Ketika itu, acara sebegini masih tiada di Kuala Lumpur, tetapi sekarang, ia telah menjadi acara yang dinantikan setiap tahun, malah, kami mencipta sejarah apabila berjaya menarik 20,000 pengunjung tahun lepas," kata Loh.
Festival tahun ini, menurut beliau akan berlangsung pada hari Isnin, 6 Februari bermula pukul enam petang di lokasi yang sama, iaitu Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Cheras.
Baginya, acara itu sesuai dianggap sebagai simbolik harapan permulaan baru kepada mereka yang masih belum berkahwin, apatah lagi, hari yang turut dikenali sebagai Festival Tanglung adalah malam bulan penuh yang pertama pada tahun baru.
Bezanya jika pada zaman dahulu, anak gadis akan menunggu dengan sabar dan penuh harapan agar limau yang hanyut selepas dilontar ke sungai atau laut akan dikutip orang supaya hajatnya termakbul.
Sebaliknya kini, di Tasik Permaisuri, peserta yang mengutip limau atau pisang, boleh terus menghubungi dan bertemu individu bujang yang bernasib baik serta menghayati bulan penuh pertama tahun baru bersama.
AKTIVITI KASIH SAYANG
Loh memilih taman itu kerana rupabentuk topografi tasik yang memanjang amat sesuai untuk acara itu, selain kedudukan strategik dan cukup luas untuk menampung sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung.
"Tahun ini kami memberi ruang kepada penajaan utama sebanyak tiga khemah selain menawarkan ruang bazar kepada 20 penjual dan 10 ruang jualan untuk badan kebajikan yang berminat.
"Kami ingin menjemput lebih ramai penaja bersama untuk membantu menjalankan aktiviti berlandaskan hajat dan kasih sayang seperti bot tanglung hajat untuk dihanyutkan ke dalam tasik," jelas beliau.
Aktiviti lain yang memerlukan penaja termasuk laluan temujanji dan pokok hajat yang membolehkan peserta mengantung kad hajat untuk cinta, kekayaan dan kesihatan, dewa kekayaan dan dewa nasib serta cabutan bertuah dengan jumlah nilai sehingga RM 2 juta.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi jawatan kuasa festival di talian 016-2720103 (Amelia) atau 012-6317638 (Looi) atau layari laman web cheng-pai.com/event/chapgohmei.
- BERNAMA