|

Pengakap Malaysia tubuh panel khas siasat kes cabul

KUALA LIPIS - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan ibu bapa terhadap seorang Jurulatih Pengakap (Scoutmaster) yang dituduh mencabul kehormatan beberapa pelajar remaja perempuan di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.

Jurulatih sukarela itu didakwa melakukan perkara berkenaan ketika mengadakan perjumpaan dan sisa latihan dengan Pengakap Remaja di sekolah itu dan telah dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Bendahari PPM, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berkata, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Datuk Khairuddin Mukmin telah melantik beliau untuk mengetuai seramai lapan orang ahli lembaga penyiasat yang terdiri daripada Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negara, Pesuruhjaya dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Selangor, Pesuruhjaya Daerah dan wakil Ibu pejabat PPM untuk meneliti dakwaan berkenaan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini mengenai dakwaan sebilangan ibu bapa pengakap remaja berkenaan yang tidak berpuas hati mengenai ada kegiatan tidak bermoral jurulatih berkenaan ketika perjumpaan dengan ahli pengakap di sebuah sekolah menengah di Petaling jaya.

Berikutan dakwaan ibu bapa berkenaan, jurulatih yang mahu dikenali sebagai `Mr Ho’ tampil membuat pengaduan penafian dakwaan tersebut di Pusat Perkhidmatan Aduan MCA Selangor untuk membersihkan namanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

"Kita masih menyiasat sejauh mana dakwaan ibu bapa Pengakap Remaja termasuk sesi latihan dan kegiatan pengakap yang dikendalikan oleh jurulatih sukarela ini dan kebenaran pihak sekolah berkenaan.

"Soal berkaitan pencabulan seperti yang didakwa oleh ibu bapa pengakap remaja, PPM menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan dan bersedia membantu jika dipanggil," katanya selepas menyerahkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada seramai 124 orang penduduk di Benta, semalam.

Mohamad Shahrum yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, Ibu Pejabat PPM terkejut dengan laporan media berkenaan dan memandang serius setiap kejadian membabitkan pencabulan dan kegiatan yang tidak beroral wujud di kalangan jurulatih dan pemimpin pengakap yang mengendalikan sesi latihan kepada kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, PPM sebagai sebuah pertubuhan beruniform sukarela yang tertua di negara ini sentiasa menjaga imejnya kerana telah melahirkan ramai pengakap yang berintegriti termasuk jurulatih yang kerap mengendalikan kursus dan latihan di peringkat negeri, Kebangsaan dan antarabangsa.

Mohamad Shahrum berkata, jurulatih sukarela berkenaan, memang dikenali di kalangan ahli Pengakap di Selangor dan kerap membantu Ibu pejabat PPM mengendalikan latihan kepimpinan kepengakapan di kalangan guru-guru Pengakap.

"Dia seorang jurulatih yang berpengalaman dan berkemahiran kerap membimbing pelajar (pengakap) remaja di sekolah di Selangor dan tempat lain,’’ katanya.

Mohamad Shahrum berkata, siasatan jawatankuasa kes itu membabitkan pertemuan dengan Pesuruhjaya Pengakap Negeri dan daerah, jurulatih pengakap berkenaan, pentadbir sekolah, guru pengakap sekolah dan pelajar sendiri.

Menurutnya, laporan yang lengkap itu akan diserahkan kepada Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Datuk Khairuddin Mukmin untuk tindakan lanjut.

"PPM mempunyai garis panduan latihan dan perkhemahan yang terkandung dalam Skim Latihan Pengakap yang digunapakai untuk menajamkan kemahiran kepengakapan seramai 200,000 ahli pengakap sekolah rendah, sekolah menengah, Kelana (Rover Scouts) di desa dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

"Penggubalan latihan kemahiran, disiplin dan kepimpinan ahli pengakap berkenaan berasaskan panduan dan tatacara yang diterbitkan oleh Biro Pengakap Sedunia di Geneva, Switzerland yang diguna pakai oleh pertubuhan beruniform ini di seluruh dunia,’’ katanya.

Mohamad Shahrum berkata, PPM juga mengeluarkan garis panduan latihan dan pentauliahan, iaitu kebenaran seseorang jurulatih dan pemimpin pengakap untuk menyelenggarakan semua kegiatan pengakap di sekolah dan di luar.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:13 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pengakap Malaysia tubuh panel khas siasat kes cabul"

Leave a reply

Blogged.my