|

PAS desak Hasan Ali letak jawatan ADUN

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia sekiranya enggan membuat rayuan kerana kerusi dimenanginya itu atas tiket Pas.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan terus mendesak Hasan supaya melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya beliau sudah membuat keputusan muktamad tidak mahu merayu dan berhajat untuk ‘angkat kaki’ daripada menjadi ahli parti itu.

Menurutnya, adalah lebih baik bagi bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berdiam diri dan tutup mulut daripada memburukkan orang lain serta melabelkan pemimpin tertentu sebagai parasit.

“Sekiranya beliau tidak suka pada seseorang, itu haknya. Ini semua tiada kaitan dengan Pas lagi, tetapi saya ingatkan supaya tidak meletakkan semua kesalahan kepada orang lain sedangkan ia adalah kesalahan yang dilakukan dirinya sendiri.

“Hasan tidak boleh cakap orang lain parasit kerana orang berkenaan ada hati dan perasaan. Sebab itu menasihatinya supaya tidak buka mulut,” katanya, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan keengganan Hasan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya daripada Pas yang disifatkan dilakukan se­ca­ra autokratik dan tidak de­mokratik.

Malah Hasan turut menggariskan sembilan sebab mendorongnya membuat keputusan penting itu.

Mengulas tindakan Hasan yang melemparkan kesalahan ke atas Pas dan mengemukakan sebab-sebab menolak parti itu, Tuan Ibrahim berkata, tindakan itu langsung tidak munasabah, malah beliau masih gagal mendedahkan individu dimaksudkan.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan Hasan seorang pemimpin yang gagal dan tidak mempunyai autoriti serta hak melakukan perubahan setelah diberikan peranan memegang dalam jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

“Kenapa beliau mahu menyalahkan orang lain? Mengaku saja yang diri sendiri buat salah. Tidak ada urusan campur tangan orang lain ketika beliau pegang jawatan berkenaan," katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:45 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "PAS desak Hasan Ali letak jawatan ADUN"

Leave a reply

Blogged.my