Pantai Chenang jadi pusat biak maksiat dipantau
PANTAI CHENANG - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Temoyong bergerak aktif mengadakan rondaan berskala bagi memastikan kawasan sekitar terhindar daripada gejala sosial dan mencegah anak muda tempatan terjebak aktiviti najis dadah dan minuman keras.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Bohor Tempoyak, Abdul Rahin Othman, 60, berkata, selain memastikan kerukunan penduduk sekitar, pihaknya turut memantau aktiviti di kawasan pusat hiburan sekitar pantai terbabit.
“Berdasarkan pemantauan, terdapat tiga atau lebih pusat hiburan beroperasi secara terbuka yang menyajikan persembahan ala ‘live band’.
“Ini termasuk penjualan arak berleluasa kepada pengunjung,” katanya, ketika operasi pemantauan di sekitar Pantai Chenang.
Abdul Rahin berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir sekitar jam 1 pagi itu dilakukan setiap minggu membabitkan kawasan Pantai Chenang sepanjang hampir dua kilometer.
Menurutnya, hasil pemantauan juga mendapati sebuah kelab yang agak ‘ekstrem’ dipenuhi ramai pengunjung sebahagian besar adalah pelancong asing berkumpul di kawasan pantai.
“Ada antara mereka adalah masyarakat tempatan terdiri daripada anak-anak muda. Kami bimbang mereka terikut budaya Barat.
“Perkara ini perlu dibendung kerana gejala sosial kian menjadi-jadi terutama penggunaan arak kalangan remaja dan belia,” katanya.
Abdul Rahin turut melahirkan kebimbangan kemungkinan pusat hiburan terbabit dipengaruhi aktiviti bahan terlarang seperti pil ecstacy secara tersembunyi.
Katanya, pihaknya memohon pihak berkuasa memantau segera agar gejala itu supaya tidak mengganggu kehidupan masyarakat setempat, selain mencemar imej Langkawi sebagai pulau pelancongan.
Menurutnya, penjualan minuman keras didakwa berleluasa dan pihaknya kecewa serta khuatir tiada pantauan secara berkesan menyebabkan ada pengusaha pusat hiburan menjalankan perniagaan itu hingga lewat pagi.
“Pemimpin setempat juga perlu buat pemantauan. Komitmen Pemuda Umno sebelum ini, juga ada melaungkan usul mahu jadikan Langkawi sebagai pulau pelancongan ‘Halallan Toiyibba’ ketika perhimpunan Agong Umno,” katanya.
Abdul Rahin berharap komitmen pemimpin setempat digiatkan dalam hal berkenaan.