|

Orang yang buta sejarah sahaja yang menghalang Mauludirrasul

Tindakan menyamakan sambutan Maulidur Rasul sebagai meniru amalan Nasrani yang meraikan Krismas adalah perbuatan orang buta sejarah dan cubaan memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Nakhaie Ahmad, berkata dakwaan itu juga umpama racun dan berniat jahat, sedangkan tiada hujah atau alasan menyokong bahawa sambutan berkenaan meniru perbuatan Nasrani.

Beliau berkata, walaupun Maulidur Rasul disambut 200 atau 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, banyak perkara baru yang menjadi adat dalam mengembangkan syiar Islam dan tiada pada zaman Nabi tidak berlawanan dengan Islam.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul termasuk dalam lingkungan adat dan bukan ibadat.

“Perkara berkaitan adat boleh dicipta selagi tidak bertentangan syarak dan ia bukan kesalahan kecuali jika ia diisi dengan acara bertentangan syarak.

“Dalam hal ini, adat tidak bertentangan dengan syarak dan baik, Nabi Muhammad menggalakkannya seperti hadis bermaksud, Sesiapa yang mencipta sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala. Sesiapa yang mencipta sunnah yang tidak baik, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang melaksanakannya,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam khutbah Jumaat baru-baru ini menerusi video yang dimuat naik di internet mendakwa perbuatan menyambut Maulidur Rasul sebagai meniru budaya Kristian yang meraikan Krismas sempena kelahiran Nabi Isa.

Nakhaie berkata, Maulidur Rasul bertujuan mengingati Rasulullah dan perjuangan Baginda dengan cara untuk melaksanakannya boleh berubah dari semasa ke semasa asalkan tidak melanggar syariat.

Beliau berkata, amalan mengingati perjuangan Rasulullah diadakan sejak awal iaitu pada zaman pengikut sahabat selepas kewafatan Rasulullah yang masih berpegang teguh dengan sunnah.

Antaranya majlis dinama Majlis As Samar diusahakan Urwah Zubir yang mengumpulkan anak muda dan menceritakan mengenai jihad Rasulullah dan peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah untuk menghidupkan semangat jihad di kalangan mereka.

“Urwah ialah anak saudara Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah dan beliau mempunyai banyak sumber mengenai perjuangan Baginda melalui hubungannya dengan Aisyah serta sahabat Nabi.

“Upacara mengingati Rasulullah bukan sesuatu yang sesat dan meniru bukan Islam tetapi mempunyai akarnya dalam sejarah Islam sendiri,” kata beliau yang turut mendakwa usaha berkenaan adalah cubaan mengaburkan pemikiran umat Islam terhadap adat dan kebudayaan Islam untuk memuliakan junjungan Rasulullah serta mengingati perjuangannya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 1:04 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Orang yang buta sejarah sahaja yang menghalang Mauludirrasul"

Leave a reply

Blogged.my