|

Nurul Aien tidak dirogol, hanya dibunuh

TAIPING: Polis mengesyaki lebih dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, Jumaat lalu dan bedah siasat mendapati pelajar berusia 16 tahun itu tidak dirogol.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering itu, Nurul Aien Mohd Saimon, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi ditemui lemas dengan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala akibat dipukul dengan objek keras.

Sehubungan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun awal pagi Sabtu lalu tidak jauh dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya mendapati pembunuhan itu dilakukan lebih daripada dua suspek.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat memburu beberapa lagi suspek selepas berjaya menahan suspek berusia 18 tahun itu awal pagi Sabtu lalu.

“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan.

“Selain itu, kami juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek berusia 18 tahun yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan dengan rumah mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa tidak dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

Menurutnya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul pelajar itu sebelum dia dipukul dengan objek keras di kepala.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam ke dalam kolah selain kecederaan parah di kepala,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.

Mayat Nurul Aien ditemui adik lelakinya, Mohd Azrul Daniel Mohd Saimin, 10, dalam keadaan kepala berada di dalam kolah sebaik pulang dari rumah neneknya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 12:31 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Nurul Aien tidak dirogol, hanya dibunuh"

Leave a reply

Blogged.my