|

Mak nyah diserang enam lelaki

“Saya hanya mampu menjerit apabila hayunan rantai besi yang berikat mangga itu terkena tepat di kepala,” kata juru mekap yang menjadi mangsa serangan enam lelaki di depan Wisma Delima, Jalan Haji Abdul Aziz, semalam.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita berkata, dia bersama rakannya, Shasha sedang berjalan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum didatangi enam lelaki menaiki motosikal.

“Tanpa sebarang amaran, tiga daripada mereka terus memukul saya menggunakan besi, topi keledar dan rantai besi berikat mangga, manakala yang lain berada di atas motosikal,” katanya.

Rozita berkata, begnya disentap hingga putus sebelum pukulan bertubi-tubi hinggap di bahagian belakangnya.

Katanya, dia tidak mampu melawan dan ketika itu, rakannya Shasha datang membantu, tetapi turut menjadi sasaran tiga lelaki yang memakai baju dan jaket serba hitam.

Rozita, yang ketika itu berlumuran darah, lari menyelamatkan diri, tetapi apabila menyedari rakannya juga dipukul, dia kembali ke arah rakannya sebelum rebah di situ.

“Selepas lebih lima minit, enam lelaki itu menghilangkan diri dengan motosikal. Ketika itu saya hanya separa sedar di pangkuan Shasha,” katanya.

Sementara itu, Shasha yang masih lagi trauma dengan serangan itu, tidak menyangka kumpulan lelaki itu tergamak memukul mereka dengan besi dan topi keledar.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut dan darah yang mengalir di kepala, ada individu yang kebetulan lalu di jalan itu dan menghantar mereka ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Ketika itu saya memang tidak berdaya sementelah melihat rakan yang hampir pengsan di pangkuan. Nasib baik ada orang lalu di kawasan itu dan membawa kami ke hospital,” katanya.

Akibat serangan itu, Rozita menerima enam jahitan di kepala, luka di dahi, lebam di bahagian bahu, belakang dan lengan, manakala Shasha pula luka di bahagian kepala dan lengan.

Rakan mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Bakri, 50-an berkata, kumpulan mak nyah itu menggelar lelaki yang menyerang mereka Geng Anti Maknyah kerana sebelum ini kira-kira 12 kali kejadian sama berlaku membabitkan 10 mangsa.

Katanya, kumpulan lelaki itu akan bertindak di antara jam 1 pagi hingga 5 pagi, tetapi tidak mengambil barang penting atau beg duit dan hanya menyerang serta memukul mangsa.

“Kes ini sebenarnya sudah berlaku enam bulan lalu, tetapi kini lebih kerap terutama di Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar.

“Mereka selalu diserang dan menggunakan senjata sama. Mereka tidak mengambil wang, tetapi akan mencederakan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen, Sim Chon Siang berharap, kum­pulan mak nyah itu mendapat pembelaan sewajarnya kerana menjadi mangsa kejam lelaki tidak berperikemanusiaan itu.

“Walau siapa pun mereka, kita berharap mak nyah ini dapat hidup selesa tanpa gang­guan lelaki yang bersikap ganas seperti ini,” katanya ketika melawat Rozita dan Shasha di sini.

Dalam pada itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi

Superintendan Kamaruz­zaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu dan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:53 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Mak nyah diserang enam lelaki"

Leave a reply

Blogged.my