Lim Guan Eng sedia bersara dari politik jika tuduhan ada bukti
KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulangi tekad beliau untuk bersara dari politik jika terdapat bukti penjualan tanah Bayan Mutiara di negeri itu dilakukan secara rundingan dan bukan tender terbuka.Beliau berkata syarikat pemaju hartanah Ivory Properties Group Berhad hari ini menegaskan ia memenangi bidaan bagi tanah seluas 41.5 hektar di Bayan
Mutiara dekat sini menerusi persaingan sengit dalam tender terbuka oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Dia (Zainal) sudah ada bukti, bukti ialah kenyataan Bursa Malaysia. Dia sudah tunjuk bukti tapi telah dinafikan oleh Ivory, dia bukti ialah satu kenyataan yang telah dibuat oleh Ivory, tetapi hari ini Ivory siarkan dia dapat tender secara terbuka," katanya.
Guan Eng berkata demikian ketika mengulas cabaran Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, yang mendakwa memiliki bukti tanah itu dijual pada harga RM1.1 bilion kepada Ivory Group menerusi rundingan.
"Saya yang cabar. Saya cakap kalau mereka boleh buktikan saya tak buat tender terbuka, saya akan undur dari politik, tapi kalau mereka tak dapat
buktikan, mereka pula kena undur," katanya kepada pemberita selepas debat dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang bertajuk 'Kaum Cina di
Persimpangan. Apakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua bangsa?' di sini.
Tanah yang dianggap sebagai 'bernilai amat tinggi' itu adalah kawasan paling strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas
dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. - Bernama