|

Lebih 100,000 Penganut Agama Hindu Di Pulau Pinang Sertai Perarakan

GEORGE TOWN, 6 Feb - Lebih 100,000 penganut agama Hindu hari ini membanjiri sepanjang jalan sejauh 10 kilometer semasa perarakan arca Dewa Murugan dari Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga di sini sempena perayaan Thaipusam pada Selasa.

Perarakan 'Ratham" dengan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dan diiringi alunan alat muzik tradisional India, "Mridangam" dan "Natheswaran" bermula seawal pukul 6.30 pagi.

Perarakan itu turut memukau ribuan pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk merakamankan foto semasa penganut menunaikan hajat dengan memecahkan ribuan biji kelapa semasa perarakan itu singgah di hadapan gerai "Thanir Panthal" yang didirikan di sepanjang laluan ke kuil itu.

Beratus ribu biji kelapa dilonggokkan di sepanjang jalan berkenaan dan mula dipecahkan oleh penganut Hindu sebagai tanda membayar nazar kepada Dewa Murugan atau Dewa Subramaniam ketika perarakan itu singgah di hadapan gerai "Thanir Panthal".

"Thanir Panthal" adalah khemah sementara yang didirikan di sepanjang lalu bagi menyediakan minuman percuma kepada penganut yang mengikuti perarakan ritual itu.

Selain itu, penganut Hindu juga membawa "archenai" iaitu talam yang diisi dengan kelapa, wang, buah-buahan dan bunga untuk diserahkan kepada sami yang mengikuti perarakan itu untuk melakukan upacara sembahyang.

Tinjauan Bernama di sepanjang Jalan Magazine dan Datuk Keramat mendapati suasana begitu meriah dan keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis mengawal lalu lintas.

Memandangkan sambutan kali ini jatuh pada hari cuti umum, keadaan di sekitar kawasan itu sesak dengan kehadiran pengunjung dari segenap lapisan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Pelancong dari Amerika Syarikat, Guston S. Remkin, 24, tidak melepaskan peluang memecahkan beberapa biji buah kelapa sebagai upacara simbolik memohon restu dari Tuhan.

"Ini adalah kali pertama saya melakukan upacara memecahkan kelapa bagi merasai sendiri semangat perayaan ini. Semoga saya diberkati Tuhan," katanya ketika ditemui pada perarakan itu.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu pada bulan 'Thai', bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Perayaan itu bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Sementara itu pelancong wanita dari Kanada yang hanya mahu dikenali sebagai Pauline, 27, mencukur rambutnya sebagai tanda menghormati perayaan itu.

"Saya dan rakan-rakan mencukur rambut kami dan berkumpul di sini sejak 10 pagi tadi bagi merasai pengalaman perayaan yang unik dan berwarna-warni ini," katanya.

Manakala Nicole Walter, 22, dari Amerika Syarikat yang pertama kali menyaksikan upacara itu menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengagumkan.

- BERNAMA
Foto - samsulsaid.wordpress.com


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 6:21 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Lebih 100,000 Penganut Agama Hindu Di Pulau Pinang Sertai Perarakan"

Leave a reply

Blogged.my