|

Konsert Erykah Badu DIBATALKAN kerana hina Islam!

Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan Konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia.

"Konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar Garis Panduan PUSPAL iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini menerusi mesej Twitter.

Beliau berkata perbuatan artis itu meletakkan tulisan kalimah Allah di badan tanpa baju adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan merupakan kesalahan yang serius.

"Perlanggaran syarat ini telah menimbulkan bantahan masyarakat yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan memberi impak negatif kepada imej kerajaan," katanya.

Rais berkata mesyuarat Puspal hari ini telah memutuskan pembatalan konsert itu berdasarkan pandangan anggota mesyuarat khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akhbar harian The Star dalam ruangan muziknya semalam menyiarkan gambar penyanyi "funk", "hip-hop" dan "soul" itu yang menunjukkan wajah dan sebahagian dadanya yang terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan "Allah" di sisi kiri dan kanan.

Ekoran itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar berkenaan.

Akhbar itu juga akan diberi surat tunjuk sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN. The Star dalam pada itu membuat permohonan maaf di akhbarnya dan laman portal beritanya berhubung penyiaran gambar berkenaan.

Erykah Badu, yang berasal dari Dallas, Texas, pernah memenangi anugerah Grammy dan dijadual membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur esok.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Rais kerana tindakan beliau yang pantas untuk membatalkan konsert Badu.

"Datuk Seri Rais Yatim dilaporkan telah mengumumkan pembatalan ini dalam laman sosial beliau hari ini. Beliau telah menulis dalam status twitter beliau, "konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar garis panduan Puspal iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia”.

"Dewan Pemuda Pas sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada KPKK yang diketuai oleh Datuk Seri kerana mengambil langkah drastik dalam memperjuangkan agama Islam supaya tidak dipermain-mainkan oleh orang lain," kata Setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:23 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Konsert Erykah Badu DIBATALKAN kerana hina Islam!"

Leave a reply

Blogged.my