|

Juruanalisis Sistem Tabung Haji Didakwa Ubah Kandungan Pangkalan Data

KUALA LUMPUR, 9 Feb - Juruanalisis sistem, Jabatan Teknologi Maklumat Tabung Haji, Afizul Md Yasin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap tiga pertuduhan membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji, dua tahun lepas.

Afizul meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Afizul, 34, didakwa membuat capaian ke pangkalan data Tabung Haji dan memasukkan rekod nama 27 jemaah haji menggunakan program komputer tanpa kuasa yang mana perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan sistem haji Lembaga Tabung Haji.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 13, Jabatan Teknologi Maklumat, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, antara 10.55 pagi hingga 11.10 malam, pada Jun dan Julai 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, seorang kerani mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan wang tunai RM6,750 sebagai upah untuk menolong menguruskan 27 jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada tahun 2010 bersamaan 1431H, supaya dapat pergi menunaikan haji pada waktu itu.

Roslan Mohamed Som, 47, yang bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Tabung Haji, dituduh menerima wang itu daripada perantara, Samsudin Ibrahim di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini antara 3.30 petang dan 4 petang, 15 Julai 2010.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zulkarnain Hassan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh dan memohon supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

"Jaminan yang ditawarkan adalah munasabah dengan kesalahan serius yang dilakukan kerana ia mencemarkan imej Tabung Haji, dan saya juga memohon supaya kedua-dua kes ini dibicarakan bersama," katanya.

Afizul dan Roslan yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan itu dikurangkan kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

"Saya memohon jaminan sebanyak RM10,000 kerana saya tidak mampu dan perlu menanggung lima anak yang masih kecil serta isteri yang tidak bekerja," kata Afizul.

Roslan yang mempunyai dua anak, turut memohon jaminan dikurangkan kerana isterinya menghidap kanser.

Hakim Rozilah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh melantik peguam bela.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:29 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Juruanalisis Sistem Tabung Haji Didakwa Ubah Kandungan Pangkalan Data"

Leave a reply

Blogged.my