|

Guru bebas dari tuduhan meliwat!

SHAH ALAM - Seorang guru sekolah rendah hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan seorang pelajar lelaki sekolah menengah di sebuah rumah di Rantau Panjang, Klang, empat tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya melepaskan dan membebaskan Badrul Akmal Ishak, 33, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan terutama keterangan mangsa sendiri bertentangan dengan keterangan sokongan khasnya keterangan ahli kimia dan keterangan perubatan yang mengatakan tiada tanda-tanda mangsa diliwat.

Hakim Slamat berkata pakar bedah, Dr S. Manimaran, telah memberi keterangan bahawa tidak terdapat kesan luka pada dubur mangsa manakala Dr Chan Swee Sing yang memeriksa mangsa, juga mendapati tiada kesan atau tanda-tanda mangsa telah
diliwat.

Ahli kimia P.Revathi pula menyatakan hanya DNA Badrul Akmal yang diambil daripada keratan kain dari biliknya, dan tiada DNA mangsa didapati di atas katil atau dalam bilik tertuduh, kata Hakim Slamat.

Beliau berkata kes itu berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa yang telah membaca mesej pesanan ringkas dalam telefon bimbit mangsa.

Badrul Akmal dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu masing-masingnya pada 1 pagi dan 3 pagi 24 Ogos 2008 di rumah No 53 Jalan Genting 5/KU 4 Taman Kembara 2, Rantau Panjang, Klang. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamaruddin manakala Badrul Akmal diwakili peguam bela, Gerard Lazarus.

Tertuduh yang terharu dengan keputusan mahkamah memeluk Lazarus sambil menangis teresak-esak.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan. - BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 12:26 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Guru bebas dari tuduhan meliwat!"

Leave a reply

Blogged.my