|

(Gambar) KPN masih hidup dan sihat walaafiat di London

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyiarkan beberapa keping gambar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika berada di New Scotland Yard, London dalam laman sosial Facebook bagi membuktikan bahawa beliau dalam keadaan sihat.

Enam keping diambil semasa lawatan kerja di New Scotland Yard itu jelas menunjukkan Ismail berada dalam keadaan sihat dan ceria, sekali gus menafikan khabar angin mengatakan beliau sudah meninggal dunia yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial dan Twitter semalam.
Gambar-gambar tersebut menunjukkan beliau menerima momento daripada pegawai Scotland Yard, sedang mendengar taklimat, bergambar kenangan dengan pegawai PDRM yang menemaninya dan sekeping gambar beliau bersendirian.

Malah, sebaik sahaja gambar-gambar itu disiarkan, terdapat puluhan komen daripada pengikut laman sosial PDRM yang melahirkan rasa syukur, mengucap sejahtera dan tahniah kepada Ismail serta pasukan polis yang mengharumkan nama negara melalui lawatan kerja ke luar negara itu.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) PDRM, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, semua gambar yang disiarkan itu baru sahaja dirakamkan semasa Ketua Polis Negara bertemu dengan polis Scotland Yard untuk mendengar taklimat mengenai Pusat Arahan Komunikasi (C3i), London.

"Tan Sri Ismail ada menghubungi saya memaklumkan beliau berada dalam keadaan sihat dan akan pulang ke tanah air pada lusa (Khamis ini) selepas selesai mengadakan lawatan kerja tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail dalam satu kenyataan SMS kepada Utusan Malaysia semalam, mengatakan beliau berada dalam keadaan sihat dan sedang mengadakan lawatan kerja di New Scotland Yard sebelum ke London Metropolitan Central Communications Command.

Ismail menghantar pesanan itu apabila diminta mengulas mengenai khabar angin yang disebarkan melalui SMS, laman sosial dan Twitter bahawa beliau telah meninggal dunia di London pada awal pagi semalam.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, PDRM memandang serius penyebaran berita tidak benar tentang kematian pemimpin tertinggi dalam pasukan keselamatan itu.

"Polis memandang serius perbuatan (fitnah) ini kerana berita kematian tidak boleh dibuat gurauan.

"Ia dilihat serius bukan hanya kerana yang difitnah adalah Ketua Polis Negara yang merupakan seorang personaliti dan pemimpin, tetapi soal kematian memang bukan boleh dibuat main-main," ujarnya.

Utusan


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 9:02 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "(Gambar) KPN masih hidup dan sihat walaafiat di London"

Leave a reply

Blogged.my