BB1M: Nila setitik, rosak susu sebelanga
BARU-BARU ini, pendedahan dibuat mengenai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) disalah guna oleh segelintir mahasiswa agak mengejutkan. Mengapa perkara ini berlaku?
Cuba kita sama-sama perhalusi. Mungkinkah benar, pelajar tahunakhir di universiti kebanyakannya sudah tidak lagi memerlukan buku, jadimereka mengambil keputusan menjual dan melelongnya?
Kita lihat pula desakan hidup yang ditanggung oleh mahasiswa.Bagaimana keadaan mahasiswa miskin yang terdesak atau lebih memerlukanwang sara diri secara tunai? Perbelanjaan paling kerap bagi pelajar adalah seperti bayaran fotostat, mencetak tugasanatau bayaran rumah sewa.
Walaupun nampak remeh, permasalahanseperti ini perlu dikaji demi kebaikan masa depan bagi menentukan hasrat kerajaan membantu rakyat terlaksana atau sebaliknya. Sehubungan itu, kita ikuti pandanganKementerian Pengajian Tinggimengenai isu ini menerusi temu bual Bicara Isnin bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr Rujhan Mustafa.
Apakah reaksi yang diterima oleh kementerian selepas program pemberian baucar ini dilaksanakan?
DR RUJHAN: Kementerian Pengajian Tinggi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah memperuntukkan RM260 juta bagi agihan baucar bernilai RM200 kepada 1.3 juta pelajar. Ini jelas menggambarkan komitmen kerajaan menjadikan mahasiswa kita golongan berilmu. Bantuan baucar ini juga dapat merancakkan industri buku tanah air.
Apabila kes lelong dan penjualan baucar oleh segelintir pelajar berlaku, apakah reaksi Kementerian?
DR RUJHAN: Kementerian berpandangan insiden seumpama ini tidak wajar berlaku. Kami berasa kesal dengan sikap segelintir pelajar yang tidak mensyukuri nikmat yang telah diamanahkan oleh kerajaan kepada mereka supaya menukarkan baucar berkenaan dengan buku-buku akademik dan bacaan yang sesuai dengan minat mereka. Sikap mereka ini telah memberikan persepsi tidak baik kepada pelajar universiti sebagai golongan terpelajar dan berilmu. Mereka sepatutnya berasa malu dengan sikap materialistik yang tidak menguntungkan ini. Pihak kementerian telah membuat ‘post mortem’ dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada 25 Januari lalu. Mereka yang didapati bersalah boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta secara tidak betul. Pihak universiti juga telah diminta mengenalpasti pelajar-pelajar mereka yang terlibat dan mengambil tindakan sewajarnya.
Selepas berlaku masalah ini, bagaimana kementerian hendak memastikan bahawa pelajar benar-benar melaksanakan hasrat kerajaan itu?
DR RUJHAN: Kerajaan dan kementerian telah dan akan mengambil sikap berperasangka baik terhadap pelajar-pelajar yang diberikan bantuan baucar buku tersebut. Pemberian baucar telah dikenal pasti sebagai jalan terbaik untuk menyalurkan peruntukan pembelian buku ini. Kementerian percaya para pelajar mempunyai integriti untuk membeli buku-buku ilmiah dan yang boleh menambah ilmu pengetahuan mereka. Hanya ada segelintir kecil sahaja pelajar yang tidak mempunyai integriti dan bersikap curang yang akan memalukan diri mereka jua. Pada ketika ini, kementerian mengharapkan setiap universiti mengambil tindakan sewajarnya seperti menarik balik baucar berkenaan dan memberikan kaunseling kepada pelajar yang terbabit. Peniaga atau pekedai buku yang terbabit juga mesti diberikan kaunseling tentang perlakuan mereka yang tidak amanah dengan menawarkan pembelian baucar itu. Seterusnya, kementerian menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang yang ada.
Terdapat komen bahawa tempoh pemberian dan penggunaan baucar antara Januari dan Mac ini kurang sesuai memandangkan pelajar universiti sedang bercuti?
DR RUJHAN: Tempoh tertentu bukanlah faktor pelajar untuk menjual baucar berkenaan. Kalau dibuat pada bulan yang lain juga belum tentu tidak akan berlaku perkara sebegini. Selagi tidak ada sikap amanah dalam kalangan pelajar dan ada pula peniaga yang bekerjasama menangguk di air keruh, maka perkara ini akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kementerian berpandangan, tempoh tiga bulan itu sebenarnya mencukupi dan memadai kerana para pelajar boleh membeli buku di mana-mana kedai berhampiran mereka. Sewaktu cutilah mereka mudah untuk keluar dan membeli buku kerana kuliah belum bermula.
Apakah pandangan kementerian terhadap pelajar yang menjual dan melelong baucer tersebut secara terbuka dan begitu mudah?
DR RUJHAN: Di zaman kemajuan teknologi maklumat ini, semuanya bergantung di hujung jari pelajar. Kadang kala jari lebih pantas bertindak sebelum akal membuat keputusan yang betul. Mungkin setengah pelajar yang terlibat tidak memikirkan implikasi kepada dirinya sendiri dan universitinya. Tentunya juga memalukan ahli keluarga dan memalukan negara. Jadi, kementerian menasihatkan semua pelajar supaya membuat keputusan menggunakan akal yang bijak sebagai penghuni menara gading dan jangan biarkan jari mendahului akal dalam membuat sesuatu.
Selain baucar dirampas, apakah tindakan kementerian terhadap pelajar yang didapati menjual baucar kepada orang lain?
DR RUJHAN: Seperti yang saya sebut di awal tadi, pelajar mesti diberikan kaunseling dan menyesali perbuatan mereka. Hati dan kalbu mereka perlu dibersihkan dari sikap tidak amanah dan nilai tidak murni itu.
Apa langkah pencegahan bagi menghadapi masalah seperti ini?
DR RUJHAN: Kementerian tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku kerana kita sentiasa berprasangka baik dengan pelajar yang telah diterapkan dengan nilai-nilai murni semasa dalam pengajian mereka. Inilah yang dikatakan “kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga”. Kementerian akan meneruskan agenda untuk melahirkan pelajar yang holistik dengan pencapaian akademik, berkemahiran tinggi dan memiliki hati kalbu yang mulia dan berintegriti. Ini telah dinyatakan dengan jelas dalam Modul Pembangunan Insaniah yang telah diperkenalkan semenjak 2007 lagi.
Pengambilan baucar kosong (tanpa nama bercetak) sebenarnya menambah risiko penyalahgunaan seperti ini?
DR RUJHAN: Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, kita meletakkan sepenuh keyakinan terhadap pelajar kita. Jika kita buat sedemikian, nanti dikatakan kementerian tidak percaya kepada pelajar kita. Apa pun, bergantung kepada integriti pelajar. Jika sebelum ini segelintir pelajar sering mempertikaikan integriti kerajaan dan pemimpinnya, kini mereka perlu buktikan bahawa mereka ada integriti yang tinggi dalam isu baucar buku ini.
Adakah kementerian telah memikirkan satu penyelesaian menyeluruh berhubung isu sama pada masa depan?
DR RUJHAN: Tugas kementerian ialah meneruskan agenda negara untuk melahirkan modal insan kelas pertama yang bakal memimpin negara di masa hadapan. Mereka juga harus merebut peluang untuk menjadi graduan berinovasi dan kreatif sejajar dengan model baru ekonomi negara. Usaha kementerian tidak boleh terhenti atau terganggu dengan segelintir pelajar itu. Kita masih mempunyai jutaan pelajar berintegriti tinggi berbanding hanya dengan beberapa pelajar yang terlibat.