|

UMNO tidak taja roadshow saya - Hasan Ali

MUKADIMAH: Berita 8 Januari lalu menggemparkan dunia politik tanah air.  Pengumuman pemecatan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali daripada parti menjadi berita utama.  Mengapa, kenapa dan bagaimana perkara itu boleh berlaku telah diperjelaskan beliau.  Tinggal lagi, rakyat termasuk ahli Pas yang akan membuat penilaian.  Eksklusif kepada Editor Sinar Harian Edisi Selangor / Kuala Lumpur, KHAIRUL AMRI YASIN, Hasan jujur berkongsi rasa, meluah kebimbangan dan mencongak masa depan perjuangannya. 

SINAR HARIAN: 'Roadshow’ atas nama memurnikan akidah ini adakah hanya tertumpu di Selangor semata-mata atau adakah bersifat menyeluruh ke seluruh negara?
Hasan: Elok saya jelaskan mengenai ‘roadshow’ yang sedang diusahakan. Pertama adalah 'roadshow' yang bersifat kemasyarakatan. ‘Roadshow’ ini banyak menyentuh kehidupan harian terutama yang berkait dengan berbagai masalah sosial.  Kedua, ‘roadshow’ memberi penerangan mengenai isu-isu semasa yang perlu diperjelaskan kepada anggota masyarakat. Ini termasuklah isu pemecatan saya dan pengguguran sebagai anggota Exco. Rakyat sedang menunggu untuk mendapat maklumat yang sebenarnya terutamanya daripada mulut saya sebagai orang yang terlibat.
Sehingga ini, tumpuan diberikan kepada Negeri Selangor. Walau bagaimanapun secara selektif ‘roadshow’ ini juga menyeberangi sempadan Negeri Selangor. Melalui berbagai NGO hampir semua negeri telah menghantar permohonan untuk mengadakan ‘roadshow’ di tempat masing-masing. Nampaknya mereka terpaksa menunggu giliran disebabkan jadual yang terlalu padat dan senarai menunggu yang agak panjang.
Program yang terkhusus kepada ancaman akidah yang saya sertai dikendalikan melalui Himpun. HUMPUN membariskan NGO-NGO Islam, para ulama, ahli akademik, karyawan dan kumpulan profesional. Program setengah hari ini dipenuhi dengan presentasi yang secara langsung menyentuh proses Kristianisasi yang kini begitu giat diusahakan oleh warga gereja dan pengembang agama Kristian.

SINAR HARIAN: Ada yang meragui misi sebenar ‘roadshow’ memurnikan akidah ini.  Adakah benar memperjuangkan akidah dan menyelamatkan umat Islam daripada murtad atau bersifat serampang dua mata iaitu pentas ‘balas dendam’ terhadap Pas selepas kes dipecat daripada parti dan digugurkan jawatan Exco.
Hasan: Kepada siapa yang pernah menghadiri program memurnikan akidah di bawah Himpun, pastinya akan bersetuju bahawa Himpun tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Himpun juga tidak menyediakan ruang kepada mana-mana pemimpin politik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) untuk menyampaikan ceramah. Sebaliknya, ruang yang luas diberi kepada mereka yang secara langsung pernah atau sedang terlibat menangani masalah murtad dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Ada pun penglibatan saya dalam Himpun dikaitkan dengan pengalaman saya dan teman-teman menangani masalah murtad di Negeri Selangor. Unit Selamat Akidah (USA) menjadi model menyekat kemaraan proses Kristianisasi yang ingin dikongsi oleh pihak-pihak yang terlibat di luar Selangor.

SINAR HARIAN: Sejauh mana kebenaran ‘roadshow’ ini bebas daripada tajaan Umno dan bersih daripada sebarang kerjasama dengan pemerintah?
Hasan: Seperti yang disebutkan tadi, kesemua bentuk ‘roadshow’ termasuk Himpun tidak ada kaitan dengan Umno atau mana-mana pertubuhan politik. Program-program tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh  badan sukarela atau gabungan NGO. Percubaan mengaitkan program ‘roadshow’ termasuk Himpun dengan Umno memang telah dicanang sejak awal-awal lagi. Golongan ini bimbang kepada riak dan gelombang sokongan rakyat terhadap program yang melibatkan saya dan teman-teman seperjuangan. Sebagai contoh, saya hadir dalam satu majlis dalaman di Sungai Merab, seramai hampir 400 orang telah hadir terdiri daripada ahli-ahli akademik, golongan profesional dan anggota masyarakat yang ingin mengetahui kedudukan sebenar mengenai beberapa isu yang sedang panas diperkatakan.

SINAR HARIAN: Datuk akan terus kritik parti dan PR dari luar dengan misi memberi penjelasan kepada rakyat. Namun, biarpun dikritik, Pas atau PR mungkin pejam mata, kekal dengan apa yang mereka buat sekarang. Persoalannya, kalau sasarannya adalah rakyat, apa yang Datuk mahu rakyat buat dengan penjelasan Datuk. Adakah Datuk mahu rakyat jangan undi Pas atau komponen PR masa PRU13 nanti?
Hasan: Perjuangan saya dan teman-teman berlandaskan kepada IMR (Islam, Melayu dan Raja).  Saya dan teman-teman akan menjelaskan persoalan mengenai keberlangsungan Malaysia dalam konteks mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan Raja serta Perlembagaan. Setakat yang telah dilaksanakan, seperti yang saya bayangkan, sambutan rakyat daripada berbagai golongan tanpa mengira fahaman politik begitu mengharukan. Sokongan yang ditunjukkan dalam beberapa bentuk seperti melalui media baru serta kehadiran dalam program ‘roadshow’ termasuk Himpun membayangkan betapa rakyat kini memerlukan aliran baru dalam berpolitik. Mereka telah lemas dengan aliran tradisi yang bersifat retorik serta politik kelompok yang akhirnya tidak menguntungkan rakyat. Saya dan teman-teman cuba mengetengahkan idea aliran baru berpolitik. Aliran tersebut bagi setengah pihak dinamakan sebagai kuasa ketiga. Idea kuasa ketiga atau ‘3rd Force’ setakat ini walaupun baru sahaja diutarakan, tetapi telah diberi sambutan hangat oleh golongan atasan, pertengahan dan bawahan.
Rakyat rata-ratanya bukan sahaja terpanggil untuk mendengar apa sebenarnya kuasa ketiga tetapi lebih dari itu bersedia untuk bersama-sama menjunjung IMR ini sebagai tonggak ‘nation-building’. Saya dan teman-teman tidak kisah seandainya Pas dan PR memejamkan. Tetapi, kami tidak rela melihat rakyat terus dipejamkan mata hati mereka buat sekian lamanya atas kehendak kepentingan politik. Mereka perlu tahu di mana mereka sekarang dalam dunia yang terus berputar. Sebagai seorang Muslim apakah mereka merasakan Islam telah dinobatkan? Sebagai seorang Melayu apakah mereka reda bahawa bangsa Melayu sebagai peribumi terus hidup secara terpinggir? Atau sebagai rakyat yang menghormati Perlembagaan, adakah institusi Raja mendapat tempat yang wajar? Rakyat sudah mula sedar. Di samping nikmat pembangunan yang dapat dikecap secara fizikal mereka inginkan sesuatu yang lebih abadi untuk mengiringi kehidupan mereka di peringkat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jiwa mereka mula tertekan akibat hati dan sanubari yang inginkan pengisian melebihi tuntutan fizikal dan fisiologikal. Ini tidak dapat dilakukan. Ertinya terdapat semacam kekosongan dalam diri mereka walaupun perut mereka sentiasa kenyang. Apa pengisian yang diidamkan? Bagi saya jawapannya ialah IMR.

SINAR HARIAN: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa ada bukti dan fakta (kononnya rahsia Datuk dalam tangan PR) dan akan dedahkan kepada rakyat mengenainya jika Datuk serang kepimpinan PR khususnya di Selangor.  Adakah Datuk sedia berdepan situasi itu?
Hasan: Sebagai orang politik serang-menyerang perkara biasa. Sebagai orang politik juga fitnah-memfitnah juga perkara biasa. Orang politik tidak berdaya membina tembok mempertahankan diri daripada serangan dan fitnah. Itulah juga yang terjadi kepada saya sekarang. Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 40 tahun yang lalu termasuk hampir 15 tahun dalam dunia politik, saya kira rekod penglibatan saya tentang fitnah-memfitnah berani saya katakan sebagai agak baik. Mungkin ada yang mengatakan bahawa saya angkuh. Tetapi, inilah realitinya. Setakat yang saya ingat belum ada laporan polis atau siasatan SPRM ke atas saya. Tak tahulah saya waktu yang mendatang kerana saya dan teman-teman dilihat terlibat dalam program dalaman bagi setengah golongan menganggapnya sebagai menentang arus. Apa pun dengan rendah diri saya cuba sedaya upaya membawa aliran politik bersih melalui IMR.
Saya tidak dapat menelah apa yang ada pada YB Azmin. Saya juga tidak dapat menelah apa bentuk penyelewengan dan salah laku yang melibatkan saya. Seandainya YB Azmin mempunyai bukti-bukti kukuh, kita ada polis untuk dibuat laporan dan kita ada SPRM untuk siasatan lanjut. Saya cadangkan supaya YB Azmin jangan bertangguh lagi gunakan agensi-agensi ini untuk akhirnya mendakwa saya. Saya juga ada maklumat yang disampaikan oleh pihak-pihak tertentu melibatkan orang-orang Pakatan Rakyat. Bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa. Tetapi andainya saya ditolak ke dinding barangkali maklumat-maklumat tersebut boleh dijadikan senjata ampuh mempertahankan diri. Setengah daripada maklumat tersebut boleh mengundang keaiban kepada individu dan parti.

SINAR HARIAN: Biarpun baru di peringkat pemanas badan, adakah Datuk yakin ‘dakwah’ dalam ‘roadshow’ itu nanti akan diterima? Kalau diterima...atas faktor apa? Adakah berlandaskan jumlah kehadiran besar atau menerusi panggilan telefon, SMS diterima menyokong perjuangan Datuk?
Hasan: Saya faham riak-riak sokongan pada langkah-langkah pertama ini tidak membayangkan sokongan yang sebenarnya. Bagi saya aliran politik baru berlandaskan IMR akan menjadi realiti sebenar untuk kelmarin, hari ini dan esok. Saya nampak rakyat sudah dapat membezakan antara ‘form’ dengan ‘substance’. Bagi tujuan keberlangsungan umat, ‘substance’ mesti mendahului ‘form’. IMR adalah ‘substance’. IMRlah yang akan menjadi taruhan kepada  umat Islam dan umat Melayu. Semua manusia ada bisikan hati keenam atau ‘sixth sense’.  ‘Roadshow’ di Meru dihadiri lebih daripada 1,500 orang. Dari wajah dan raut muka mereka yang hadir, saya boleh membaca hati-hati mereka. Mereka ikhlas ingin mendengar dan mereka ikhlas ingin mengetahui persoalan murtad. Dalam nada yang sama mereka yang hadir ingin mendengar daripada mulut saya sendiri mengenai persoalan pemecatan saya sebagai ahli Pas dan pengguguran sebagai anggota Exco.

SINAR HARIAN: Salahkah saya menyatakan apa yang telah berlaku? Salahkah saya memberi perspektif dan penilaian saya sendiri mengenai kedua-dua peristiwa itu? Dan salahkah saya memberi jawapan untuk menghilangkan kesangsian kepada mereka yang menuntut untuk mengetahui fakta sebenar?
Hasan: Selama ini saya sangat berhati-hati mengeluarkan kenyataan kecuali kalau keadaan memaksa. Saya tidak mengamalkan ‘character assassination’ kerana saya pun tidak suka orang melakukan terhadap saya. Setahu saya, saya tidak memulakan perang mulut. Apa yang saya lakukan adalah untuk menjawab secara objektif fakta-fakta yang diseleweng yang mungkin menjejaskan kredibiliti saya.

SINAR HARIAN: Kesudahan perjuangan Datuk sampai ke mana? Datuk bukan lagi calon Pas PRU3 dan tidak mustahil perjuangan ini akan sepi, lenyap sebab tiada lagi platform. Adakah Datuk kan bertanding pada PRU13? Bertanding atas calon Bebas barangkali?
Hasan: Di hadapan saya banyak pilihan sama ada yang tersedia ada ataupun yang mendatang. Insya-Allah Hasan Ali tidak akan menyepikan diri atau lari ke gua bertapa. Hasan Ali bersama teman-teman akan berjuang habis-habisan mempertahankan IMR. Pentas politik adalah satu opsyen. Banyak lagi pentas-pentas yang tersedia untuk saya. Mungkin pentas berunsur politik, mungkin dakwah, mungkin pendidikan, mungkin latihan, mungkin pengurusan dan banyak mungkin-mungkin yang lain. Nun di sana ratusan ribu yang dulunya anak-anak sekolah kini sudah menjadi dewasa dan mengetuai keluarga masing-masing. Mereka adalah lepasan program ‘Summer Camp’, ‘Smart Learning’, ‘Parenting’ yang telah saya kemudikan sejak 30 tahun yang lalu. Mereka ini berada di Perlis hingga ke Johor merentasi Laut Cina Selatan Sabah dan Sarawak. Saya juga ada alumni di Singapura dan Brunei. Terus terang saya katakan, Hasan Ali tidak keseorangan. Dengan mesej IMR, mesej yang membayangkan degup jantung umat Islam dan umat Melayu yang sebenarnya, sedang disemarakkan. Percikan apinya sudah mula kelihatan. Agaknya inilah yang menjadikan teman-teman saya di sebelah sana mula menggelabah.

SINAR HARIAN: Sepanjang lebih tiga tahun memegang portfolio agama di Selangor, apakah yang telah berjaya Datuk lakukan dalam meningkatkan syiar Islam dan apa pula cabaran yang telah ditempuhi sepanjang melaksanakan tugas tersebut?
Hasan: Saya tidak bercadang untuk menyenaraikan kesemua apa yang saya dan teman-teman di Mais dan Jais telah lakukan. Hanya ingin menyebut beberapa kejayaan. Pertama, Negeri Selangor satu-satunya negeri di negara yang  lantikan jawatankuasa masjid dan surau di buat secara pemilihan oleh anak kariah sendiri bukan ditunjuk atau dilantik. Dengan cara ini terpilihlah orang-orang yang sememangnya mempunyai kepakaran, minat serta komitmen untuk memajukan rumah-rumah Allah itu.

Ada masjid Nazirnya mempunyai PhD sementara Timbalan Nazirnya juga mempunyai kelulusan yang sama. Itulah di antara sebab masjid dan surau di Selangor kini jauh lebih makmur daripada sebelumnya.

Negeri Selangor juga satu-satunya negeri yang telah mempraktikkan sistem KPI sebagai satu pendekatan untuk meningkatkan kemampuan dan keupayaan ahli jawatankuasa yang terlibat melonjakkan prestasi masing-masing. Masjid dalam kategori C akan dipandu menjadi B seterusnya memasuki liga kategori A.
Saya dan teman-teman di Jais sering berbincang hal berkaitan dengan nahi mungkar. Sudah ada yang melabelkan Negeri Selangor sebagai Darul Mungkar. Dalam konteks ini, saya sendiri terlibat mencegah gerakan memurtadkan orang Islam. Saya juga terlibat secara terus dalam beberapa operasi untuk menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. Seperkara yang perlu saya sebut di sini terdapat halangan demi halangan direntangkan di hadapan saya. Mereka mengatakan tindakan saya dan teman-teman di Jais mengganggu kebebasan peribadi (individual freedom) dan bertentangan dengan semangat hak asasi manusia (human rights).

Ada di antara mereka yang memberi amaran ‘no social policing’. Walaupun tindakan saya dan teman-teman di Jais adalah terkhusus kepada orang-orang Islam sahaja, tetapi bagi mereka alasan ‘human rights’ dan ‘individual freedom’ merentasi ras dan agama. Sebab itu jangan ganggu mereka. Biarkan mereka berpesta arak, tenggelam dalam perjudian, terlibat dalam maksiat urut dan zina, berkhalwat di hotel-hotel bajet dan sebagainya.

Kadang-kadang saya terfikir mungkin secara senyap dan terancang mereka memang ingin melihat orang Melayu/Islam tenggelam dalam kemungkaran tanpa batasan. Orang Melayu yang memang sudah ketinggalan dalam aspek pembangunan akan menjadikan mereka bertambah layu dan longlai. Keadaan ini memudahkan mereka melenyapkan sisa-sisa kekuatan yang ada dengan membiarkan mereka terus terjerumus di lembah kemungkaran.

Saya meramalkan halangan-halangan ini akan menjadi lebih kuat dan bertenaga disebabkan orang-orang Islam dalam Pakatan Rakyat disuruh mengamalkan politik akomodatif. Bagi mereka hal-hal seperti ini boleh diselesaikan apabila mereka berjaya menawan Putrajaya.

SINAR HARIAN: Imej Pas Selangor tercalar teruk dan dilihat hilang taring selepas terlepas portfolio agama yang disandang Datuk sebelum ini.  Situasi ini mengesahkan persepsi banyak pihak Pas sememangnya kuda tunggangan komponen PR.
Hasan:  Bagi saya siapa yang memegang portfolio agama tidak penting. Yang penting ialah kemampuan, keupayaan dan komitmen untuk melaksanakan Islam dan peraturan-peraturan Syariat. Selain daripada itu persekitaran yang kondusif serta sokongan padu daripada semua pihak khususnya ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan hendaklah diserlahkan.

Cuma agak janggal apabila sebuah parti yang berteraskan Islam tidak diberi kepercayaan untuk menerajui hal-hal berkaitan Islam di negeri ini. Setakat yang saya tahu dan pengalaman yang saya lalui, komponen parti tidak akan memberi laluan untuk melaksanakan cara hidup bersendikan Islam. Parti yang berteraskan Islam sendiri larut kekuatan mereka mempertahankan agama kerana lambaian Putrajaya. Sebagai contoh, penyiasatan ke atas DUMC, saya dan teman-teman di Jais dikutuk dan dipersalahkan. 

Orang yang mempersalahkan saya dan anggota Penguatkuasa Jais adalah pimpinan parti yang menjulang obor Islam itu sendiri. Saya bersimpati dengan Menteri Besar dengan tugas dan tanggungjawab yang sudah sampai ke paras hidung dibebankan lagi dengan portfolio yang paling sensitif. Selain daripada beliau harus menyelesaikan masalah kredibiliti, beliau juga harus berdepan dengan rakan-rakan pembuat dasar bersama beliau yang dilihat oleh banyak pihak sebagai anti-Islam.

SINAR HARIAN: Apa nasib program-program yang telah Datuk laksana dan rancang sepanjang memegang Exco Agama sebelum ini. Adakah Datuk yakin program tersebut akan diteruskan MB Selangor sebagai Exco agama yang baru.
Hasan: Hubungan saya dengan MB sepanjang masa adalah baik. Saya menghormati beliau dan saya nampak beliau pun menghormati saya.  Saya telah berusaha sedaya upaya menjadi pembantu beliau sebagai seorang Exco yang dapat melaksanakan amanah yang diberi. 

Saya sentiasa menyokong beliau untuk melahirkan ‘Baldatun toyyibatun warabbun ghafur’ di Negeri Selangor sebagaimana yang beliau sebut berulang kali dalam ucapan bajet tahunan. Beliau pernah menyaksikan selama dua tahun berturut-turut program sahur perdana di bulan Ramadan. Beliau telah menyaksikan tahun lalu lebih 10,000 orang membanjiri Masjid Negeri jam 3.30 pagi untuk berqiamullail dan bermunajat.

Saya mengharapkan program Tazkiyyatun Nafs ini dapat diteruskan.  Program ini menjadi antara barometer mengukur kehebatan amalan agama di negeri ini. Program seperti ini atas sifatnya berbentuk amal makruf tidak banyak mendapat tentangan dan rintangan. Saya yakin atas keikhlasan beliau MB dapat menjalankan tanggungjawabnya. Hanya sebahagian daripada teman-teman kerja beliau dalam Exco yang secara nyata atau tidak nyata tidak menyokong usaha memartabatkan Islam yang menjadi tugas dan tanggungjawab utama Exco Agama.

SINAR HARIAN: Ramai berharap program seperti USA (Unit Selamat Akidah) ilham Datuk diteruskan.  Bagaimana sekiranya Exco Agama baru memandang sepi dan membiarkan program murni itu lenyap?
Hasan: Saya sedang memikirkan apa cara yang terbaik untuk terus memberi nafas baru kepada USA. Seramai 51 orang yang dulunya Islam kini telah menggugurkan Kalimah Tauhid yang diperdengarkan di telinga mereka waktu mereka dilahirkan. Mereka memerlukan bimbingan. Mereka memerlukan bantuan dan harapan.

Saya dan teman-teman berhasrat untuk terus menemani mereka mencari cahaya hidayah. Saya dan teman-teman nampak ada ruang untuk itu. Saya akan cuba setakat kemampuan yang ada untuk terus menghidupkan USA. Sayangnya bila ditubuhkan USA ada pimpinan parti dalam Pakatan memperkecil-kecilkan usaha ini. Sebahagiannya menafikan wujudnya gerakan Kristianisasi dan proses pemurtadan. Orang ini bukan bercakap soal akidah, orang ini bercakap menggunakan bahasa politik. Bayangkan betapa hinanya kita sehingga bab akidah pun sanggup dipolitikkan atas nama menawan Putrajaya.

SINAR HARIAN: YB Khalid Samad menggelar Datuk sebagai budak suruhan Umno. Beliau juga memperkecilkan gerakan kuasa ketiga tidak lebih daripada sebagai pengacau. Dalam ulasan lanjutnya beliau memberi fakta bahawa Hasan Ali sudah hilang sokongan.
Hasan: Kalau ada pihak yang mengikuti dari awal polemik saya dengan YB Khalid Samad, cuba nyatakan siapa yang memulakan serangan ofensif hingga ke peringkat yang agak personal? Cuba semak potongan-potongan akhbar yang lalu yang membabitkan kami berdua. Saya sudah mangli dengan cara YB Khalid Samad. Ada ketikanya beliau terus meloncat dan melenting atas sesuatu isu tanpa usul periksa. Kenyataan demi kenyataan dibuat mengenai Mais dan Jais tanpa usul periksa dan tanpa fakta yang boleh dipertahankan. Itulah YB Khalid Samad. Saya fikir saya tak perlu mengulas. Saya tak perlu melayan orang seperti ini. Saya akan melayan seandainya apa yang disentuh mengenai saya atau teman-teman saya bersandarkan kepada fakta dan terelak daripada hal-hal peribadi.

Cuma saya ingin menerangkan hal pemilihan dalam Muktamar yang YB Khalid timbulkan. Saya akui saya tidak mendapat kedudukan yang baik dari segi ranking dalam pemilihan Muktamar yang lalu. Seingat saya, saya tidak terlibat pergi ke mana-mana meraih undi. Saya tidak terlibat walaupun banyak undangan untuk merasmi mesyuarat-mesyuarat kawasan. Soal jatuhnya ranking tak penting bagi saya. Yang penting saya ada ruang untuk bersuara.  Bersuara untuk meletakkan Pas balik ke pengkalan asalnya. Bersuara mengembalikan kepimpinan ulama.  Bersuara membebaskan Pas daripada parasit-parasit makhluk perosak yang mengharu-birukan Pas.

SINAR HARIAN: Pusat Penyelidikan Pas (PPP) telah mengadakan tinjauan mengukur kesan pemecatan Datuk terhadap anggota masyarakat. Dapatannya, pemecatan Datuk tidak banyak memberi kesan kepada Pas. Apa komen Datuk?
Hasan: Saya hormati teman-teman di PPP. Saya harap dapatan daripada tinjauan itu sahih. Jika dapatan itu tidak menggambarkan situasi sebenarnya maka tertipulah hampir sejuta ahli Pas.  Kasihan ahli-ahli Pas dari kalangan ulama, petani dan nelayan menjadi mangsa penipuan Pusat Penyelidikan Pas seandainya tinjauan itu tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Hanya saya ingin mengatakan bahawa pemecatan saya belum pun sampai tiga minggu lagi. 

Masa untuk rayuan masih ada berbaki lagi.  ‘Roadshow’ baru bermula di satu tempat iaitu di Meru, Kapar. Agaknya sebagai ‘researcher’ mereka harus faham bahawa tinjauan yang sedemikian agak ‘premature’. Namun, saya tidak berhajat untuk menidakkan hasil tinjauan yang dibuat.

Saya minta kalau boleh tunggu lagi sebulan setelah saya dan teman-teman menghabiskan pusingan pertama ‘roadshow’ di Negeri Selangor dan di tempat-tempat lain yang telah dijadualkan.  Saya ingin menjemput Pengarah Operasi PPP supaya hadir dalam ‘roadshow’ tersebut.  Itu lebih baik daripada melakukan tinjauan.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:28 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "UMNO tidak taja roadshow saya - Hasan Ali"

Leave a reply

Blogged.my