|

UMNO : Anwar dan Najib tak perlu berdebat

SHAH ALAM – Cadangan debat terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.

Menurutnya, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa. Tidak seperti di Barat di mana politik mereka lebih bersifat terbuka serta tidak melibatkan pelbagai kaum.

“Di sini, banyak sensitiviti rakyat perlu diutamakan. Untuk menyampaikan setiap dasar, memberi ceramah sudah memadai dengan membentangkan apa sahaja topik yang ingin dibawa.

“Biarlah memberi ceramah secara berasingan. Rakyat boleh membuat penilaian tersendiri apakah setiap ucapan menerusi ceramah itu dapat dilaksanakan atau tidak kedua-dua pemimpin ini.

“Lagi pula, Anwar sering dikaitkan dengan isu peribadi. Jadi kebarangkalian untuknya dikaitkan di dalam debat adalah tinggi, ditambah dengan isu peribadinya yang masih belum selesai. Kerana itu saya katakan, tidak perlu adakan debat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, Dewan Rakyat adalah platform sesuai digunakan semua pemimpin untuk mengutarakan pelbagai isu.

“Ini medium yang baik. Ia boleh dikategorikan sebagai debat kecil, di mana setiap pertanyaan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang diajukan dan disertakan dengan jawapan sama ada lisan mahupun bertulis.

“Jadi, Dewan Rakyat sudah mempertemukan semua pemimpin dalam keadaan terbuka dan boleh membidas antara satu sama lain,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:09 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "UMNO : Anwar dan Najib tak perlu berdebat"

Leave a reply

Blogged.my