|

Skuad Basikal Negara Dirempuh Ketika Jalani Latihan

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal lebuh raya wanita negara Mariana Mohamed cedera parah di tangan dan kaki kanan akibat terlibat dalam kemalangan melibatkan kereta di Presint 2, Putrajaya hari ini, ketika sesi latihan.

Tiga pelumba lain dilaporkan cedera ringan dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu di satu kawasan berhampiran simpang empat.

Jurucakap polis Putrajaya ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima beberapa laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kumpulan pelumba basikal itu gagal mengelak sebuah kereta yang telah memasuki laluan dikhaskan untuk sesi latihan itu.

Kenderaan berkenaan dipercayai memasuki laluan pelumba selepas cuba memintas sebuah kenderaan lain yang berhenti di hadapan setelah diarahkan polis memberi laluan kepada kumpulan berbasikal yang berlatih itu.

Jurucakap itu berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbangrasa namun tiada tangkapan dibuat.

Akibat kemalangan, Mariana menerima rawatan segera di unit rawatan kecemasan Hospital Putrajaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara pada sebelah petang bagi menjalani pembedahan.

Tiga pelumba lain yang cedera ringan itu dirawat sebagai pesakit luar.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abd Wahab ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk sesi latihan tersebut.

"Kami mengambil langkah kawalan yang cukup termasuk mendapatkan khidmat 10 anggota polis dan 'marshall'," katanya.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 3:01 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Skuad Basikal Negara Dirempuh Ketika Jalani Latihan"

Leave a reply

Blogged.my