|

Saya tidak akan lari ke negara lain, Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui keputusan kes liwat keduanya Isnin ini menegaskan, beliau tidak akan lari ke luar negara seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara jiran.

Sebaliknya Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, beliau akan terus kekal di negara ini dan melawan pihak-pihak yang menindas dan bertindak zalim ke atas rakyat, selain menjadi barisan hadapan menjana perubahan politik dan sosioekonomi negara.

“Ramai sahabat-sahabat saya mencadangkan saya supaya lari ke luar negara, tetapi tindakan ini tidak pernah terlintas di fikiran saya.

"Bagi saya dengan melarikan diri tidak akan menyelesaikan perkara ini.

“Saya tahu risiko jika saya terus tinggal, maka berkemungkinan saya akan dipenjara, tetapi apa yang saya mahu beritahu, risikonya bukan sahaja dipenjara, malah banyak perkara lain lagi yang mungkin menimpa diri saya,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian Online semalam.

Selain itu, Anwar turut menegaskan, kempen PR yang cuba membawa seramai mungkin penyokong ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin depan bukanlah mewujudkan revolusi ala ‘Arab spring’ ke Malaysia.

“Pada hari tersebut, pihak kerajaan dan polis harus membenarkan penyokong PR turun menandakan sokongan dan mendengar amanat saya, jika tiada provokasi maka perhimpunan ini pasti akan berjalan dengan lancar.

“Jika segalanya bergerak lancar, kami akan arahkan semua yang datang bersurai secara aman, balik ke kawasan masing-masing dan bekerja keras menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,” katanya.

Ditanya kedudukan PR sekiranya masih gagal menawan Putrajaya pada PRU13, Anwar bertegas pilihan raya umum nanti milik PR dan yakin rakyat akan bangkit menentang kerajaan sedia ada yang didakwanya sebagai korup.

“Saya yakin PR mampu ke Putrajaya, PKR adalah parti perjuangan bukannya individu. PR juga pernah menghadapi keadaan yang paling lemah pada pilihan raya umum 2004 tetapi bangkit pada tahun 2008, dengan itu kami mampu ke Putrajaya pada PRU13.

“Sekiranya PR masih gagal menang, maka kami akan terus mempertahankan gabungan sedia ada seperti pada hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menasihatkan penyokong dan pengikutnya agar segera meninggalkan kawasan mahkamah selepas keputusan diketahui pada Isnin ini.

“Selesai mendengar keputusan kes saya nanti, penyokong hendaklah bersurai serta-merta," kata beliau kepada penyokongnya yang ingin menyertai kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pihak polis memberi kerjasama dengan hanya mengawal tanpa melakukan sebarang kekerasan terhadap penyokong demonstrasi yang ingin berhimpun secara aman.

Katanya, Malaysia negara yang berdemokrasi, kempen 901 hanya untuk mengekspresikan himpunan rasa rakyat dengan cara yang aman.

“Saya boleh beri jaminan tidak akan berlaku sebarang pergaduhan semasa penyokong saya berhimpun, justeru polis harus jaga kewibawaan, jangan terus menerus melakukan kekasaran terhadap mereka.

“Kepada penyokong yang menyertai demo juga saya nasihatkan bersurai terus selepas mendengar keputusan mahkamah dan terus bekerja kuat untuk kalahkan politik zalim,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:04 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Saya tidak akan lari ke negara lain, Anwar Ibrahim"

Leave a reply

Blogged.my