|

Jurulatih Sementara Kedah letak jawatan!

ALOR SETAR - Jurulatih sementara Kedah Mohd Nidzam Adzha, yang menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan Liga Super, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan kendaliannya.

Mohd Nidzam berkata keputusan tersebut dibuat memandangkan beliau gagal membawa pasukan berada pada kedudukan terbaik walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

"Saya menyerahkan tugasan ini kepada penolong jurulatih Radhi Mat Din dan memberi fokus sepenuhnya kepada skuad Piala Presiden selepas ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kedah ketika ini berada di tangga kedua tercorot liga dengan hanya mengutip dua mata dalam lima perlawanan.

Mohd Nidzam yakin pemain mampu bangkit semula memburu kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini memandangkan saingan masih di peringkat awal dan berharap mereka tidak putus asa serta bersatu padu sebagai satu pasukan.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas sokongan padu yang ditunjukkan penyokong setia Skuad Kenari yang mahu pasukan tersebut bangkit mencari kemenangan dan sekaligus berada pada kedudukan terbaik musim ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah dipilih untuk memangku jawatan Ketua Jurulatih bagi menggantikan Wan Jamak yang digantung tujuh perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Bernama


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:18 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Jurulatih Sementara Kedah letak jawatan!"

Leave a reply

Blogged.my