|

Isu Mitos Hang Tuah, Hang Li Po - Khoo Kay Kim bersedia disoal siasat!

PETALING JAYA: Sejarawan Negara, Tan Sri Khoo Kay Kim bersedia untuk disoal siasat dan memberi keterangan sekiranya ada pihak membuat laporan polis berhubung pandangannya yang menyatakan Hang Tuah dan Puteri Hang Li Po tidak pernah wujud sebaliknya ia hanya merupakan “tokoh mistik”.

Malah Khoo berkata, beliau akan “memalukan” mana-mana pihak yang bercadang berbuat demikian kerana beliau mempunyai banyak bahan bukti berhubung perkara itu.

"Saya galakkan mereka buat laporan. Biar mereka buat (laporan polis). Saya akan malukan mereka semua," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Khoo, beliau mempunyai banyak bahan untuk dikemukakan kepada pihak polis sebagai bukti yang dapat menyokong kenyataan beliau sebelum ini sehingga mengundang kontroversi.

Katanya, melalui bahan-bahan tersebut, ia akan dapat dijadikan bukti kepada lebih ramai masyarakat dan generasi masa kini bahawa pendapatnya tentang Hang Tuah dan Puteri Hang Li Po yang tidak pernah wujud adalah benar.

Khoo berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas pensyarah kanan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari dalam portal Malaysiakini.com bertajuk 'Khoo Kay Kim Buat Hal Lagi'.

Menerusi portal itu, Abdul Aziz yang dipetik sebagai berkata mempertikaikan tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang pernah mengecamnya sebelum ini kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor, tetapi tidak melakukan tindakan yang sama terhadap pendapat Khoo.

Tindakan Abdul Aziz itu juga menyebabkan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan menghina sultan sehingga disiasat pihak berkuasa dan diberikan surat tunjuk sebab oleh pihak universiti.

Mengulas lanjut kenyataan tersebut, Khoo berkata Abdul Aziz sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kenyataan beliau dibuat dalam konteks apa sebelum mengecam pihak-pihak tertentu.

"Saya kata kenapa perkara penting seperti kejayaan-kejayaan orang Melayu dulu tak ada dalam sejarah.

"Siapa orang Melayu pertama yang jadi doktor? Siapa yang mula-mula buka Kuala Lumpur?. Mereka (generasi kini) tak tahu.

"Yang utama tak dipentingkan berbanding kisah Hang Tuah dan Puteri Hang Li Po," jelasnya.

Dalam pada itu Khoo berkata, beliau juga terkejut mendapat tahu Abdul Aziz memperlekehkan sikap golongan itu yang berdiam diri atas nama kebebasan akademik dengan mengaitkan dirinya.

"Saya terperanjat. Baru-baru ini (Abdul Aziz) banyak orang simpati dengan dia.

"Dia sebagai seorang pakar undang-undang, dia tak tahu tentang sejarah dan latar belakang kerajaan," katanya.

Khoo sebelum ini dilaporkan berkata tiada bukti dan rekod tentang kewujudan Hang Tuah begitu juga dengan Puteri Hang Li Po dari China yang dikatakan berkahwin dengan Sultan Melaka semasa abad ke-15.

- mStar


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 4:55 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

1 comments for "Isu Mitos Hang Tuah, Hang Li Po - Khoo Kay Kim bersedia disoal siasat!"

  1. apapun orang melayu akan tetap menganggap sejarah Hang Tuah dan Puteri Hang Li Poh tetap wujud..

Leave a reply

Blogged.my