|

Baru lima jam nikah, pengantin baru maut kemalangan

Gambar Hiasan
BESUT - Hasrat seorang pengantin baru menziarahi datuk saudaranya yang tenat di hospital tidak kesampaian apabila maut akibat kemalangan jalan raya kira-kira lima jam selepas majlis pernikahannya dengan lelaki pilihan.

Roshnida Razali, 28, dari Kampung Seri Medang, yang terlibat dalam nahas jalan raya di satu selekoh tajam berhampiran Kampung Beting Lintang di sini, Ahad lepas, meninggal dunia kira-kira 3.40 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Besut.

Mangsa, seorang ibu tunggal, melangsungkan perkahwinan dengan Azhar Mustafa, 35, dalam satu majlis 11.30 pagi Ahad, berhasrat menziarah datuk saudaranya di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bersama suami dan anggota keluarga lain pada sebelah petang hari yang sama.

Azhar ketika ditemui hari ini berkata mereka ke Kuala Terengganu pada kira-kira 5 petang dan kemalangan itu berlaku hanya 10 minit selepas bertolak dari rumah isterinya.

"Ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kembara datang dari arah bertentangan memasuki laluan saya ketika mengambil selekoh, yang menyebabkan perlanggaran kuat dengan kenderaan kami," katanya.

Azhar berkata dalam kejadian itu, dia pengsan seketika dan setelah sedar semula mendapati mangsa yang duduk di sebelahnya, mengerang kesakitan.

Turut berada dalam kereta Proton Saga yang dipandu Azhar ialah ibu mertuanya, Mek Nak Hamid, 51, serta anak Roshnida, Nik Norinsyirah Dialina Nik Mohd Shamsul, 9 tahun.

Azhar berkata isterinya dan dua yang lain dihantar ke Hospital Besut.

Ibu mertua dan anak tirinya kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan kerana kedua-duanya patah kaki kanan.

"Roshnida ditahan di wad Hospital Besut kerana pihak hospital memberitahu isteri saya tidak mengalami patah atau kecederaan serius, sementara saya dibenarkan pulang pada hari sama walaupun masih berasa teramat sakit pada bahagian dada," katanya.

Azhar berkata Roshnida masih mampu bercakap dengannya namun keadaan mangsa benar-benar tidak bermaya sehinggalah isteri yang dikenali tiga bulan lalu
menghembuskan nafas terakhir di depannya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Kamaruddin Zakaria mengesahkan kejadian.

- Bernama


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 6:51 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Baru lima jam nikah, pengantin baru maut kemalangan"

Leave a reply

Blogged.my