|

Anwar, Pakatan tidak pernah halalkan homoseksual

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan meliwat minggu lalu menegaskan beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat tidak menganjurkan, membenarkan ataupun menghalalkan homoseksualiti.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kasim berkata, bagaimanapun Anwar berpendirian bahawa undang-undang lapuk yang tidak berlandaskan syarak serta menzalimi rakyat Malaysia wajar disemak.

"Undang-undang lapuk dan zalim, malah boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kekuasaan untuk menghalalkan fitnah jelik ke atas sesiapapun," katanya.

Oleh itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, beliau ingin menyeru supaya semua pihak merujuk kenyataan atau jawapan tersebut dan tidak dipengaruhi dakyah jahat media Umno.

"Justeru saya juga menyeru agar jangan sesiapapun bersekongkol subahat memintal fitnah ini kononnya atas nama perjuangan Islam."Perjuangan Islam tidak sama sekali membenarkan fitnah sedemikian," katanya lagi.

Kata beliau, susulan pembebasan Anwar minggu lalu, media yang dikongkong Umno terus memintal fitnah baru demi menjejaskan wibawa beliau sebagai seorang Muslim, rakyat Malaysia dan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beberapa hari kebelakangan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilontar pula dengan tohmahan bahawa beliau mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini.

"Fitnah yang dipintal media Umno seperti Utusan Malaysia itu kononnya dipetik dari jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya dalam satu wawancara BBC," katanya.

Tambah beliau, sekiranya diteliti jawapan Anwar itu, ternyata beliau tidak menyebut berhasrat mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini.

"Berdasarkan jawapan dan petikan itu, pertamanya, ditegaskan sebagai orang Islam, kita menjunjung kesucian hubungan perkahwinan antara lelaki dan perempuan," katanya lagi.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 12:03 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Anwar, Pakatan tidak pernah halalkan homoseksual"

Leave a reply

Blogged.my