|

Sudahlah diculik, telinga pula ditoreh!

PASIR MAS: Seorang pemuda berusia 21 tahun bukan saja diculik, malah turut dicederakan empat lelaki menyebabkan telinga kirinya dihiris, kening dicederakan dan betis kanan dikelar dengan sebilah parang panjang dalam kejadian di Bayu Lalang, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang juga pekerja sebuah pasar raya dekat sini, sedang menjamu selera di sebuah kedai berhampiran tempat kerjanya sebelum didatangi kumpulan lelaki tidak dikenalinya itu.

Anak bongsu daripada sembilan beradik dari Chetok, dekat sini, dibawa ke lokasi rahsia di sekitar Bayu Lalang sebelum diserang tanpa perikemanusiaan.

Tanpa mempedulikan rayuannya, kumpulan berkenaan mengelar telinga dan pergelangan kaki sebelum meninggalkan mangsa yang kesakitan di dalam semak di tepi jalan berdekatan Kampung Bayu Lalang.

Mangsa yang mengerang kesakitan bagaimanapun bernasib baik kerana ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi menjejakinya sebaik mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian culik berkenaan.

Dalam keadaan parah, mangsa dikejarkan polis ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Difahamkan, suspek menyerang mangsa disebabkan salah faham dan cemburu membabitkan seorang wanita yang dikatakan mempunyai hubungan dengan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tidak mengenali kumpulan lelaki yang melarikan dan mencederakannya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

“Setakat ini polis masih mengesan kumpulan lelaki terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan motif kejadian juga sedang disiasat.

Haliluddin berkata, pihaknya tidak mahu orang ramai membuat sebarang andaian mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

myMetro


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:55 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Sudahlah diculik, telinga pula ditoreh!"

Leave a reply

Blogged.my