|

Pembelian Anelka cetus revolusi baru dalam bola sepak China

PEMBELIAN mengejut Nicolas Anelka oleh Shanghai Shenhua membawa kepada perlumbaan mencari pemain dalam bola sepak China.

Ketika pemilik jutawan yang baru cuba menyaingi satu sama lain untuk mendapatkan pemain berstatus bintang, pihak berkuasa di China kini berhasrat merebut hadiah utama iaitu Piala Dunia.

Pakar bola sepak China, Rowan Simons iaitu warganegara Britian yang berpangkalan di Beijing serta terbabit dengan sukan itu sejak lebih 20 tahun berkata: “Anelka akan menjadi bintang pertama dalam Liga Super China. Perpindahannya akan membuka peluang baru dan ia sesuatu yang cukup jelas.

“Kelab bola sepak di China dimiliki gabungan agensi berkaitan kerajaan, pihak swasta dan individu.

“Wang untuk membeli bintang ternama datang daripada pemilik swasta yang begitu kaya dan memperoleh kekayaan menerusi perniagaan di China dan kini mahu menunjukkan rasa cinta mereka terhadap bola sepak.

“Seperti mana-mana pemilik kelab jutawan di seluruh dunia, pastinya mereka mahu mendabik dada dengan kekayaan mereka dan bola sepak dapat membantu hubungan mereka dengan kerajaan.

“Masalahnya, kelab selepas ini perlu mengatasi kelab terdahulu jadi ketika ini mereka memburu pemain yang lebih hebat daripada Anelka.”

Bekas rakan penyerangnya di Blues, Didier Drogba, 33, adalah nama terkini yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China.

Seorang pemilik kelab China kini datang ke England minggu ini bagi mendapatkan penyerang menerusi empat perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Peluang lumayan di Timur Jauh turut menanti pengurus kelab Inggeris.

Liz Ellen, peguam sukan berdarah Cina dan ejen berdaftar Fifa yang berpangkalan di London berkata: “Mereka mempunyai ramai pemain yang diinginkan tetapi tiada jurulatih untuk menguruskan pasukan. Mereka kini mencari lebih ramai jurulatih Sepanyol, Perancis dan mungkin dari England.”

Tetapi mengapa pelaburan seperti ini berlaku sekarang?

Simons, penulis sebuah buku mengenai bola sepak China,’Bamboo Goalposts’ yang dicalonkan untuk anugerah William Hill pada 2008, berkata: “Bola sepak China berada di kedudukan terendah berikutan penyelewengan dan kegagalan untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

“Ekonomi di China berkembang pesat dengan kebangkitan ratusan bilionair. Sehingga kini, mereka tidak mahukan sebarang perhatian kerana sebab politik.

“Tetapi kerajaan kini meminta mereka menyelamatkan bola sepak China dan ini membuatkan mereka bertambah yakin.

“Matlamat utama China adalah Piala Dunia. Pertamanya, untuk layak sekali lagi, beraksi dengan baik dan kemudian memenanginya.

“Ada dua cara untuk sampai ke sana. Satu, melaburkan wang untuk mendapatkan pemain elit, dengan mencari dan melatih pemain untuk menghasilkan pasukan hebat dan keduanya dengan pelaburan di peringkat akar umbi.

Simon bekerja keras di peringkat akar umbi dengan memanfaatkan pertubuhan Club Football untuk membina struktur pasukan amatur di Beijing, bermula dari peringkat asas.

Tetapi ketibaan Anelka, 32, membuktikan mereka di China lebih menggemari cara pertama.

Apa yang bakal dilalui bekas penyerang Perancis itu cukup difahami bekas penyerang Aston Villa dan Blackpool, Marlon Harewood.

Harewood, juga berusia 32 tahun, membantu kelab Guangzhou R&F naik ke Liga Super awal tahun ini.

“Tahapnya seperti Championship tetapi dengan ketibaan pemain lebih baik setiap musim, ia pasti meningkat.

“Malah ketika ini ada beberapa pemain berbakat yang akan memeriahkan Liga Perdana kami.

“Anelka sudah banyak merantau. Saya pasti, akan ada orang membantunya memahami bahasa itu seperti yang saya alami.

“Mereka cukup baik dan budi bahasa biarpun saya berpendapat jika anda bermain baik, menjaringkan gol dan membantu pasukan akan banyak membantu anda.”

myMetro


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:45 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pembelian Anelka cetus revolusi baru dalam bola sepak China"

Leave a reply

Blogged.my