|

Ketua Cabang PKR Bukit Gelugor, Lim Boo Chang umum keluar parti

GEORGE TOWN, 14 Dis - Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya kehilangan kredibiliti apabila ramai pemimpinnya hilang keyakinan terhadap parti itu.

Akibatnya ramai yang memilih meninggalkan parti dengan yang terbaru ialah Ketua Bahagian Bukit Gelugor, Lim Boo Chang Rabu mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam parti.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Datuk Keramat itu memutuskan berhenti daripada semua jawatan dalam PKR dan kembali menyertai semula Gerakan yang pernah dianggotainya selama 15 tahun dari 1984 sehingga 1999.

Lim berkata sebelum ini beliau tertarik dengan agenda perubahan atau reformasi yang dibawa oleh PKR tetapi selepas tiga tahun berada dalam parti itu, beliau hilang keyakinan terhadap parti berikutan kegagalan parti itu memenuhi janji," katanya.

"Konflik terus menyelubungi kalangan anggota dalam parti. Dengan rasa berat hati, saya mengambil keputusan melepaskan semua jawatan dalam parti," katanya.

Beliau juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), jawatan yang dilantik menerusi PKR.

Katanya, beliau meletakkan jawatan Ahli Majlis Perbandaran itu kerana melihat majlis itu tidak lagi bebas dengan tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mencampuri keputusan yang dibuat oleh majlis tersebut.

"Majlis tidak pernah mengalami keadaan sedemikian sebelum ini dan kini dilakukan oleh kerajaan CAT (kompetensi, akauntabiliti dan telus)," katanya.

Sementara itu, naib pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye berkata parti itu masih belum menerima sebarang permohonan daripada Lim untuk menyertai semula Gerakan.

Beliau berkata parti Gerakan adalah terbuka dan mengalu-alukan kemasukan setiap rakyat Malaysia yang menyetujui perjuangan dan ideologi parti itu sebagai anggotanya.

"Tetapi bagi kes Lim yang telah keluar daripada parti sebelum ini, kami akan mengadakan mesyuarat khas membincangkannya dan memberi laporan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk membuat keputusan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Lim adalah bekas Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan dan naib presiden pada tahun 90-an tetapi meninggalkan parti sebaik sahaja selepas pilihan raya umum 1999 dan memenangi kerusi negeri DUN Datuk Keramat di Pulau Pinang.

Kira-kira tiga minggu selepas peletakan jawatannya, anggota dewan undangan negeri selama dua penggal itu menyertai MCA selama lapan tahun sebelum menyertai PKR pada Jun 2008.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:53 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Ketua Cabang PKR Bukit Gelugor, Lim Boo Chang umum keluar parti"

Leave a reply

Blogged.my