|

AUCMS taja skuad Harimau Kumbang

ALLIANZE University College of Medical Sciences (AUCMS) menjadi penaja rasmi skuad Pulau Pinang dalam saingan Liga FAM musim depan selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di Waziria Medical Square AUCMS Kepala Batas, kelmarin.

AUCMS bakal menaja RM3 juta bagi tajaan dua tahun termasuk elaun dan gaji pemain, elaun dan gaji pegawai pasukan, pakaian pemain, kos perjalanan, kos perubatan dan kos pemulihan sepanjang musim.

Presiden AUCMS, Datuk Zainuddin Wazir berkata, AUCMS bekerjasama dengan FAP sebagai usaha menaikkan pasukan Pulau Pinang yang kini berada dalam kelompok bawahan iaitu Divisyen Tiga.

“AUCMS bersedia bersama-sama FAP membantu Pulau Pinang mempunyai pasukan bola sepak yang mampu menggegarkan industri bola sepak di Malaysia dengan kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat FAP, Datuk Mohd Ridzwan Bakar berkata, FAP berbangga dan yakin dengan komitmen yang diberikan AUCMS dalam usaha mengembalikan maruah skuad Harimau Kumbang musim depan di bawah kelolaan Ketua Jurulatih, Azman Eusoff.

“FAP yakin dengan pemilihan AUCMS sebagai penaja yang mampu membuatkan pemain selesa untuk berada atas padang tanpa memikirkan masalah kewangan yang sedang dialami FAP,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pihak menghubungi FAP untuk membantu namun AUCMS dipilih kerana mempunyai kelebihan terutama kewangan selain berhampiran dengan Stadium Mini Bertam, Kepala Batas yang bakal digunakan untuk latihan sepanjang musim.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:03 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "AUCMS taja skuad Harimau Kumbang"

Leave a reply

Blogged.my